Friday, February 24, 2012

Aroma gaharu kurangkan stres.


Dikenali juga dengan nama tengkaras (Melayu), agarwood, aloeswood, eaglewood (Inggeris), oud (Arab),chen-xiang (China), dan jinkoh (Jepun), spesies Aquilaria Malaccensis adalah spesies penghasil resin yang banyak terbaik. Spesies ini mempunyai taburan semula jadi di India, Myanmar, Malaysia, Indonesia, dan Filipina. 

Pokok gaharu boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Kulit pokok gaharu licin dan warnanya hampir putih. Daunnya jenis ringkas dan terletak dalam susunan berselang¬seli. Daunnya berbentuk memanjang atau mata lembing. Bunga gaharu terletak dalam jambak di hujung atau ruas ranting dan ketiak daun. 

Bunganya berwarna sama ada warna hijau atau kuning. Buah pokok gaharu berbentuk hampir bulat bebola atau memanjang. Pokok gaharu hidup di kawasan tanah pamah sehingga ketinggian 750m dari aras laut dan memerlukan taburan hujan dan kelembapan yang tinggi. 

Seluruh bahagian gaharu dikatakan mengandungi agarafuranoid dan ses kuiterpenoid jenis eudesman, eremofilan, valenkan dan vetispiran. Asap gaharu (dibakar) juga mengandugi kumpulan kimia yang sama. 

Kayu gaharu pula mengandungi bahan agarospiral, dan jinkoholeremol yang menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Manakala komponen methoxypenylethyl chrome pula menghasilkan bahan yang harum apabila gaharu dibakar. Resin mempunyai sifat antijangkitan, antiseptik, antibiotik, pestisid, serta dikatakan mampu berfungsi menghentikan pendarahan dan mengatasi sakit. 
 
Gaharu yang bernilai tinggi ialah bahagian kayunya yang tercedera yang telah dijangkiti kulat dan mengandungi banyak resin. Kayu yang baik berwarna putih atau kuning, lembut, ringan dan kurang berbau apabila dibakar. Kayu yang dijangkiti kulat menjadi keras, berat, berketul-ketul, berwarna hitam atau perang kehitam-hitaman dan sangat wangi apabila dibakar. Minyak gaharu diperoleh melalui proses penyulingan untuk penghasilan minyak wangi yang sangat mahal. 

Gaharu banyak digunakan dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan Ayurvedic, majlis keagamaan dan sebagainya. Gaharu digunakan sebagai bahan kecantikan sejak berabad yang lalu kerana baunya yang eksotik, harum dan mewangi seperti bunga. 

Bekalkan antiseptik
 
Keharumannya dapat digunakan dalam bidang meditasi untuk mengurangkan stres. Minyak yang diekstrak daripada kayu gaharu dikatakan mampu dijadikan sebagai minyak aromaterapi dan mampu memberi ketenangan dan kerehatan minda. 

Pengamal perubatan tradisional menggunakan daun pokok gaharu kerana kandungan astringen yang terdapat di dalam daun tersebut. Daun ini dikatakan mampu membantu mengurangkan masalah kulit berminyak dan menghentikan luka berdarah. 

Ekstrak daun gaharu juga mampu dijadikan tonik kulit dan ia dikatakan mampu digunakan untuk mengembalikan semula pigmen terhadap masalah leukorderma atau vitiligo iaitu suatu keadaan apabila kawasan-kawasan kulit kehilangan pigmennya dan menjadi putih. Antioksidan dalam daun gaharu dikatakan membekalkan antiseptik yang lembut dan boleh digunakan untuk merawat masalah jangkitan mata, telinga dan luka. Daun yang telah ditumbuk halus dikatakan boleh dibuat ubat pupuk pada tangan dan kaki yang bengkak (busung). 
 
Daun gaharu muda pula dikatakan boleh dijadikan sebagai teh dan diminum untuk mampu merangsang tubuh badan yang lemah jika selalu diminum. Khasiat lainnya adalah daun ini dikatakan mampu membuang toksik dalam badan, mengurangkan kadar tekanan darah tinggi, diabetes, sakit kepala, asma, memperbaiki fungsi buah pinggang, saluran dan peredaran darah dan oksigen serta meredakan ketegangan dan stres akibat tekanan. Selain daripada itu, ia juga dikatakan mampu membantu mengatasi masalah insomnia atau sukar tidur. 

Kayu gaharu dikatakan boleh direbus dan kemudiannya diminum untuk merawat cirit dan muntah, demam panas, malaria, lumpuh, reumatisme, sakit perut, melawaskan pembuangan air kecil, dan penawar semasa ibu hamil dan selepas melahirkan anak. 

Asap wangi daripada kayu gaharu yang telah dibakar dikatakan boleh dihidu untuk tujuan merawat kanser terutamanya kanser kelenjar tiroid, mengeluarkan angin dalam perut dan usus, melegakan asma, cirit, sakit perut dan juga sebagai afrodisiak. 

Walaupun terdapat pelbagai khasiat gaharu, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari. .

No comments:

Post a Comment