Sistem penghadaman adalah penting untuk memastikan makanan yang dimakan akan dihancurkan, dihadam dan diserap untuk memberi kita tenaga.Makanan yang kita makan akan melalui saluran makanan (mulut, esofagus, perut, usus kecil dan besar) dengan bantuan organ "tambahan" sistem penghadaman (hati, pankreas dan pundi hempedu).
Mulut - Penghadaman akan bermula sebelum makanan memasuki mulut. Bau makanan akan merangsang air liur. Inilah sebabnya mengapa air liur akan keluar apabila anda lalu di hadapan sebuah kedai biskut. Penghasilan air liur akan bertambah apabila anda mula menggigit makanan. Air liur yang mengandungi enzim seperti amilase akan menyumbang kepada proses kimia penghadaman, iaitu proses yang memecahkan nutrien kompleks kepada bentuk yang lebih ringkas, serta membantu menjadikan makanan lebih lembut dan mudah ditelan.
Esofagus - Dari mulut, makanan akan melalui esofagus, suatu tiub sepanjang 10 inci. Makanan akan ditolak ke dalam perut menerusi pergerakan peristalsis (pergerakan seakan ombak) oleh dinding esofagus yang berotot. Makanan biasanya akan mengambil masa lebih kurang 10 saat untuk sampai ke perut setelah ditelan.
Perut - Anda boleh menganggap perut sebagai pusat pemproses makanan badan. Ia akan menggaul, mengisar dan melumatkan semua makanan di dalam perut. Apabila makanan digaul, perut akan menghasilkan jus gastrik, yang mengandungi asid hidroklorik, bagi membantu penghadaman. Pada kebiasaannya, makanan akan tinggal di dalam perut selama 4 jam. Persekitaran berasid perut (pH 1 hingga 2) akan membolehkan makanan menjadi cecair pekat yang boleh dihadam dan diserap dengan mudah.
Usus Kecil - Dari perut, makanan akan melalui usus kecil. Jangan terpedaya dengan perkataan 'kecil' ini kerana usus kecil anda sebenarnya melebihi 6 meter panjang. Ia merupakan tempat utama bagi penyerapan nutrien. Pada permukaan usus kecil terdapat struktur seakan jari yang dikenali sebagai 'vili' dan pada permukaan vili ini pula terdapat struktur yang seakan jarum. Struktur vili yang unik ini akan menambah luas permukaan usus kecil dan membolehkan penyerapan nutrien yang lebih baik. Apabila dibentangkan, luas permukaan usus kecil anda adalah sebesar satu gelanggang tenis. Penyerapan bermula apabila molekul makanan menembusi vili untuk memasuki rangkaian kapilari darah. Aliran darah akan membawa molekul- molekul halus ini ke bahagian-bahagian tubuh yang lain untuk menjalani penukaran kimia yang seterusnya menjadi nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk meneruskan kehidupan.
Usus Besar- Tujuan utama usus besar adalah untuk menyerap sebanyak air yang boleh daripada makanan yang dimakan. Bahagian yang tidak diserap akan membentuk fesis yang terdiri daripada 75 peratus lembapan dan 25 peratus pepejal. Fesis akan disimpan di dalam bahagian terakhir usus besar yang dikenali sebagai rektum, dan akhirnya akan keluar daripada tubuh dalam bentuk tinja.
Hati - Hati menghasilkan hempedu, sejenis bahan penghadaman yang memecah lemak dan meneutralkan asid makanan. Hempedu akan dihantar ke pundi hempedu untuk disimpan.
Pundi Hempedu - Fungsi utama organ ini adalah untuk menyimpan hempedu yang akan dirembes ke dalam usus kecil apabila terdapat kehadiran makanan.
Pankreas - Pankreas merembes enzim yang akan memecahkan lemak, karbohidrat dan protein secara kimia.Pundi Hempedu - Fungsi utama organ ini adalah untuk menyimpan hempedu yang akan dirembes ke dalam usus kecil apabila terdapat kehadiran makanan.
Walau bagaimanapun, sistem penghadaman tidak mampu melaksanakan semua tugas-tugas ini dengan sendiri. Sebagai contoh, tidak semua makanan yang kita makan boleh dihadam. Untuk tujuan ini, tubuh memerlukan bantuan tambahan - ia memerlukan bakteria.
Posted by HERBALIS JAWI
No comments:
Post a Comment